Sign In
Mobirise Website Builder

PELUANG HARUMKAN NAMA NEGARA

06/12/2018

P22-sukan_61218.jpg

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa berucap pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10.


BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Para atlet dan kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10 adalah diperingatkan untuk menunjukkan kebanggaan dan penghayatan terhadap Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), yang merupakan identiti yang perlu dijaga dan dikongsikan keindahannya dengan sebaiknya kepada rakan-rakan antarabangsa lainnya.


Di samping itu, para atlet juga dinasihatkan untuk mematuhi segala peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, terutamanya dalam anti-doping dan jangan sama sekali melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej negara.


Perkara tersebut adalah antara yang ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10 bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.


Selain itu, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan seterusnya menasihatkan agar para atlet hendaklah menjaga tatasusila dan kelakuan sepanjang masa.


Oleh itu, di samping memberikan yang terbaik untuk negara, ambillah peluang keemasan tersebut untuk menjadi tuan rumah yang benar-benar mencerminkan diri sendiri sebagai orang Brunei yang sentiasa berakhlak mulia, berlaku adil dan hormat menghormati dengan tetamu serta menunjukkan semangat persahabatan sesuai dengan tema pada tahun ini iaitu ‘Friendship Through Sports’.


“Kibarlah bendera Negara Brunei Darussalam dengan penuh rasa semangat dan kebangaan sewaktu kejohanan itu nanti dan sentiasa menanamkan mentaliti serta berfikir sebagai seorang juara bagi memastikan kita dapat meraih kejayaan yang diharapkan seperti kata pepatah Kalau Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih,” tambah Yang Berhormat Dato lagi.


Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya kelmarin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet-atlet muda negara yang telah terpilih untuk mewakili negara bagi Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10 dan berasa bangga dengan para atlet muda negara serta amat menaruh harapan kepada kejayaan dan profesionalisme mereka.


“Di sinilah kesempatan berharga bagi atlet muda kita untuk membuktikan kebolehan mereka yang sebenar, bahawa mereka memang mampu berdaya saing dengan atlet-atlet serantau. Oleh itu, kepada atlet-atlet muda kita, saya amat berbangga dan berbesar hati termasuk melihat wajah-wajah baru dan saya penuh yakin kita akan terus membawa negara ke mercu kejayaan.

“Teruskanlah komitmen tinggi, semangat dan profesionalisme biskita sebagai satu pasukan yang bergerak secara satu, berhati satu dan bermatlamat satu iaitu untuk mengharumkan nama negara dengan kilauan pingat,” ujar Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.


Sumber : Media Permata

Attachments