Suasana mesyuarat pengurus-pengurus pasukan bagi sukan sepak takraw yang
diadakan di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan sepak takraw bagi Sukan
Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10, 2018 telah diadakan petang tadi
bertempat di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang
dipengerusikan oleh Haji Zaman bin Haji Samat.
Pasukan negara, yang juga
merupakan tuan rumah bagi temasya sukan pada tahun ini, akan menyertai
dua disiplin pertandingan dalam acara sepak takraw iaitu dalam
Inter-Regu dan Regu Quadrant yang akan berlangsung bermula pada 6 hingga
9 Disember ini. Acara sepak takraw yang dijadualkan berlangsung
bertempat di Dewan Serba Guna, Bolkiah Garison, Berakas akan menyaksikan
sebanyak lapan buah pasukan akan berentap dalam Kategori Inter-Regu
yang disertai oleh pasukan daripada Palawan, Sulawesi Selatan, Sarawak,
Brunei Darussalam A, Brunei Darussalam B, Sabah, Mindanao dan Wilayah
Persekutuan Labuan.
Manakala, sebanyak tujuh buah pasukan
menyertai dalam acara Regu Quadrant yang terdiri daripada pasukan Sabah,
Brunei Darussalam A, Brunei Darussalam B, Palawan, Sulawesi Selatan,
Sarawak dan Mindanao.
Sumber : Media Permata